Thursday, September 8, 2011

ANJURAN BERAMAL DAN BEKERJA WALAUPUN KIAMAT HAMPIR TIBA

Firman Allah SWT di dalam Al Quran bermaksud :

"Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran".
(Surah al-Asr : Ayat 1- 3 )

Masa amat berharga tiada galang gantinya jika berlalu, oleh itu kelapangan yang dikurnia Ilahi hendaklah dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat, jangan biarkan masa berlalu dengan amalan atau perbuatan yang tidak mendapat keredhaanNya. Hatta jika hari kiamat tiba Rasulullah saw masih menganjurkan kita untuk bekerja dan berusaha kerana usaha yang mulia mendapat pahala disiNya, sepertimana sabda;

Rasulullah SAW bermaksud :

“Jika kiamat telah mulai terjadi, sedang ditangan salah seorang di antara kalian ada sebuah biji(benih tanaman), maka jika dia sempat menanamnya menjelang kiamat itu, hendaklah dia menanamnya”.
( Musnad: Ahmad; Al-Adab al Mufrad : Imam Bukhari)

Begitu juga kata-kata hikmat, Abdullah bin Umar r.a., beliau berkata: “ Bekerjalah untuk duniamu, seolah-olah kamu akan hidup selamanya, dan bekerjalah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati esok hari”.
(Kata-Kata Abdullah Bin Umar r.a. Riwayat oleh Ibn Qutaibah)

Sebagai Muslim, kita hendaklah redho dengan ketentuanNya atas segala musibah yang berlaku, kita dianjurkan berusaha, berdoa dan bertawakkal supaya akhiran kehidupan kita dalam husnulkhatimah. Segala malapetaka atau bencana yang menimpa hatta tiba tanda-tanda kiamat kita dianjur untuk bekerja dan beramal kerana setiap amalan muslim keranaNya akan mendapat ganjaran selayaknya di akhirat kelak. Wallahua'llam.

Lain-lain>>>

No comments: