Thursday, September 2, 2010

AZAN SOLAT FARDHU, IQAMAH DAN 2 KALI AZAN SOLAT JUMAAT

Azan Solat Fardhu dan Iqamah

Azan secara etimologis ialah bermaksud pemberitahuan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan inilah suatu pemakluman(azan) daripada Allah dan RasulNya kepada umat manusia….”.
(Surah al-Tawbah 9:3)

Menurut istilah syariat, azan ialah suatu perkataan khusus yang digunakan untuk memberitahukan waktu solat fardhu atau pemberitahuan akan masuknya waktu solat dengan lafaz-lafaz khusus . Sedangkan iqamah ialah pemberitahuan akan permulaan solat .

Sebahagian fuqaha’ berpendapat bahawasanya azan dan iqamah termasuk salah satu amalan yang hukumnya sunat muakkad. Begitulah pandangan yang dikemukakan oleh mazhab Maliki, Syafi’i, serta pandangan sebahagian pengikut mazhab Hanbali. Para fuqaha yang lainnya seperti mazhab Hanafi, Zaidiyah dan Zhahiri mewajibkan azan dan iqamah.

Azan Solat Jumaat

Azan solat Jumaat yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW masih hidup, ianya dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar untuk memulakan khutbah. Begitu juga pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra . Namun pada zaman Uthman ra perlaksanaan azan ditambah menjadi dua kali sepertimana riwayat berikut:

Dari Saib b. Yazid ra, beliau berkata: Azan dihari jumaat dimulai setelah imam duduk di atas mimbar, Begitulah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW, pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra. Namun pada zaman Uthman ra apabila ramai di kalangan manusia memeluk Islam, maka azan ditambah menjadi dua kali(3 kali)* sebagaimana yang dilakukan di az-Zaurak”.
(Hadis Riwayat al Bukhari)

*Menurut catatan asal matan Arab dan terjemahan Sahih Bukhari menyatakan 3 kali azan namun berdasarkan nota kaki terjemahan Sahih Bukhari yang dimaksud 3 kali azan ialah termasuk iqamah.

Sahih Bukhari 'English version':
Translation of Sahih Bukhari, Book 13:
Volume 2, Book 13, Number 36:

Narrated As-Saib bin Yazid:

The person who increased the number of Adhans for the Jumua prayers to three was Uthman bin Affan and it was when the number of the (Muslim) people of Medina had increased. In the life-time of the Prophet I there was only one Muadh-dhin and the Adhan used to be pronounced only after the Imam had taken his seat (i.e. on the pulpit).

Volume 2, Book 13, Number 38:

Narrated As-Sa'ib bin Yazid I :

'Uthman bin 'Affan introduced the second Adhan on Fridays when the number of the people in the mosque increased. Previously the Adhan on Fridays used to be pronounced only after the Imam had taken his seat (on the pulpit).


Manakala menurut Al Hafiz Ibn Hajar pada zaman Khalifah Omar ra 3 orang muazzin melaungkan azan serentak sepertimana riwayat berikut; (Kitab Fathul Bari’: 295; riwayat yang semuanya berasal dari Muaz b Jabal) mengatakan bahawa Umar al Khattab ra memerintahkan dua orang muazzin pada hari jumaat supaya berazan di luar masjid agar didengar oleh orang banyak. Selain itu iapun memerintahkan muazzin lain supaya berazan di depannya sendiri, sama dengan kebiasaan yang terjadi pada masa hidupnya Nabi SAW dan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq ra. Khalifah Umar mengatakan “ Kami menempuh bid’ah(hasanah) kerana semakin banyaknya kaum muslimin”.

Keterangan lanjut:

“Dari Saib b Yazid ra, beliau berkata: Azan dihari jumaat dimulai setelah imam duduk di atas mimbar, Begitulah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra. Maka setelah berada pada zaman Uthman ra apabila ramai di kalangan manusia memeluk Islam, maka Uthman ra memerintah agar melaksanakan azan yang kedua, lalu dilakukan azan itu. Maka kekallah keadaan itu hingga kini”.
(Hadis Riwayat asy Syafi’i)

Oleh itu rujukan kepada kitab – kitab ulama yang mensyarahkan hadis Bukhari , Muslim dan lainnya bagi mengelakkan salah faham maksud hadis berkenaan dan hukum-hakam yang lainnya adalah perlu, sepertimana tafsiran segolongan mereka yang mudah membida’ah amalan muslim yang lain seperti amalan qunut dan sebagainya atau segolongan syiah yang menyalah tafsirkan hadis Bukhari, Muslim dan lain-lain.


Sesungguhnya sahabat Rasulullah SAW, Khulafa ar Rasyidin yang paling memahami soal sunnah dan bid’ah serta pembatasan antara keduanya dalam soal amalan- amalan (khilafiyah) yang bukan perkara prinsip dalam Islam bagi tujuan maslahah ummah. Jadi kita menolak mereka yang mudah membid’ah amalan muslim lain yang bukan dalam perkara prinsip dalam Islam( iaitu amalan khilafiyah), yang menjadi majoriti amalan muslim seperti amalan qunut, lafaz niat dan sebagainya. Jika benar mereka yang mudah membida'ah muslim lain, tidak bermazhab maka setiap mereka perlu menjadi mujtahid menggali sendiri dalil bukan hanya bertaklid dengan kitab karangan tokoh pujaan mereka sahaja. Jika demikian terjadi ini bermakna mereka bermazhab tokoh tersebut. Sedangkan pintu ijtihad dalam perkara yang boleh dilakukan ijtihad terbuka luas bagi perkembangan ilmu. Secara umumnya kita bermazhab kerana kemampuan seseorang menggali sumber dalil adalah terhad dan kita mengikut ulama yang menjadi pewaris para nabi dalam sesuatu masalah yang menjadi maslahah kepada ummah. Bertepatan dengan hadis sohih Baginda SAW yang memerintahkan umatnya mengikut Sunnah Rasulullah SAW dan Sunnah Khulafa arRasyidin. Khulafah ar Rasyidin maknanya termasuk juga para alim ulama yang diamanah sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Islam.

Hadis ada menyebutkan betapa ramainya manusia sesat dengan kerana al kitab. Namun hadis lain pula menyatakan ilmu akan terikat atau disimpan baik dan diwarisi dengan adanya al kitab. Oleh itu sumber ambilan kita perlulah pelbagai bagi mengkaji kesahihan sesuatu dalil itu bukan tertumpu hanya satu tokoh tertentu sahaja. Sebenarnya kita berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat bagi menggalakkan pengkajian, penggalian dan perkembangan ilmu.

Wallahua’lam.

Rujukan :

1. Imam Al Bukhari: Terjemahan Sahih Bukhari; Klang Book Centre, 1990
2. Dr Abd Al Karim Zaidan: Ensaiklopedia Fiqh Wanita , Taharah Dan Solat
3. Ust. Johari Yaman: Bimbingan, Penghayatan dan Kesempurnaan Solat; Nadi Minda Resources, 2010
4. H.M.H. Al Hamid Al-Husaini: Liku-Liku Bid’ah dan Masalah Khilafiyah; Pustaka Nasional PTE LTD, 1998
5.http://www.iiu.edu.my/deed/hadith/bukhari/013_sbt.html

Saturday, August 21, 2010

YAKJUJ DAN MAKJUJ MENURUT AL-QURAN, HADIS DAN PANDANGAN ULAMA

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“(Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada Kami (untuk menerima balasan). Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya. Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak). (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): Aduhai celakanya kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri.

(Al-Quran: al-Anbiyaa’: ayat 93-97)

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar”.
(Al-Quran: surah Al-Kahfi ayat 99)

Di dalam Riwayat Sahih Muslim:

Rasulullah SAW terjaga dari tidurnya sambil bersabda : “ Lailaaha illallah. Celakalah bangsa Arab kerana kejahatan telah dekat. Hari ini sebagian dinding Ya’juj dan Ma’juj terbuka sekian ini.”
Dan sufyan(perawi hadis ini) melingkarkan jarinya membentuk angka sepuluh. Aku (Zainab bt Jahsy) berkata : “ Wahai Rasulullah, akan binasakah kami, sedangkan di tengah-tengah kami ada orang-orang yang soleh?”
Beliau bersabda: “Ya, jika banyak kemaksiatan”.
( HR Imam Muslim - Sahih Muslim)


Menurut Imam Ahmad daripada Abi Said al-khudri berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,”dibukakan tembok Ya’juj dan Ma’juj, kemudian mereka keluar sebagaimana Allah berfirman, “mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi” lalu orang-orang lari ketakutan dan menghindari mereka ke kota-kota dan benteng-benteng. Salah seorang dari mereka mulai berkata, “ mereka adalah penduduk bumi, kita telah menyelesaikan mereka, tinggal langit. Selanjutnya salah seorang dari mereka menggerakkan tombak pendeknya lalu melemparkannya ke langit, maka tombak tersebut kembali kepada mereka dengan celupan darah fitnah dan cubaan.
(Ibnu Kathir)


“…Sungguh telah ada pada tempat ini air, lalu mereka berjalan sehingga sampai pada bukit khamar dan dia adalah bukit Baitul maqdis. Lalu mereka berkata , “kami telah membunuh siapa sahaja yang ada dibumi , maka marilah kita membunuh siapa yang berada di langit, kemudian mereka melemparkan anak panah(senjata) mereka ke langit, lalu Allah membalikkan anak-anak panah tersebut kepada mereka yang telah tercelup dengan darah .” Dan pada riwayat Ibn hajar, “ maka sesungguhnya aku telah mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak ada kekuatan pada seseorangpun untuk memerangi mereka.”

Dan diriwayatkan oleh An- Nasai dan Ibnu Majah ;

” Rasulullah SAW bersabda ; manusia akan dibakar disisi Ya’juj dan Ma’juj, panah dan perisai(senjata) mereka sejauh tujuh tahun perjalanan(kecepatan).
( Ibnu Kathir)


Menurut pendapat ulama; Sayyid Quthub, beliau berpendapat, secara tarjih, bukan yakin, bahawa janji Allah SWT untuk melubangi dinding telah terjadi serta yakjuj dan makjud telah keluar. Mereka adalah bangsa Tartar yg muncul pada abad ke 7 hijrah. Mereka telah menghancurkan kerajaan-kerajaan Islam dan menebar kerosakan di muka bumi. (Asyrathu As Sa’ah : Yusuf al Wabil halaman 378)
Tentera Tartar yg muncul pada abad ke 7 hijrah, menurut Imam Nawawi, beliau menyatakan “ sesungguhnya telah terjadi peperangan dengan bangsa Turki itu(monggol) sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW ; iaitu mereka bermata sepek , wajah kemerahan, berhidung pesek , mukanya lebar seperti perisai dan mereka mengenakan sepatu dari bulu.

Mereka dengan segala pengenalannya itu telah dijumpai pada zaman kita sekarang ini dan mereka diperangi oleh kaum muslimin berkali-kali sehingga kini(Syarah Nawawi terhadap Soheh Muslim18: 37-38).
Menurut Imam Al-Qurtubi, beliau menyatakan berikut: " Dan telah keluar sebahagian daripada mereka bangsa Turk pada zaman ini, kaum-kaum yang tidak dapat dihitung kecuali Allah, dan tidak ada yang dapat mengusir mereka daripada kaum muslimin kecuali Allah, sehingga mereka seperti Ya'juj dan Ma'juj atau sebagai pembuka bagi kedatangan mereka. Munculnya bangsa Tartar terjadi pada masa Al-Qurtubi dan beliau mengira bahawa mereka adalah Ya'juj dan Ma'juj atau pembuka bagi keluarnya Ya'juj dan Ma'juj.
(Yusuf b Abdillah b Yusuf al-Wabil)

Kemudiannya bangsa Turki ini ramai yg memeluk Islam dan ditangan mereka ini diperolehi kebaikan yang banyak bagi Islam dan kaum muslimin.

Menurut saintis muslim Harun Yahya, Yakjuj dan Ma’juj berkemungkinan merujuk kepada peperangan Dunia pertama dan kedua. Ini berdasarkan Hadis manusia di bakar disisi Ya’juj dan Ma’juj serta panah dan perisai(senjata) mereka sejauh tujuh tahun perjalanan(kecepatan). Dan turunnya mereka dari tempat-tempat yang tinggi.


Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud :
"Akan didatangi Baitullah untuk mengerjakan haji dan umrah setelah keluarnya Yakjuj dan Makjuj". (HR Bukhari)

dan sabda Nabi SAW bermaksud, "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga tidak didatangi Baitullah untuk mengerjakan haji'.(HR Bukhari)

Apabila dihimpun kedua hadis tersebut menurut kata Imam Bukhari, bahawa setelah keluarnya Yakjuj dan Makjuj, tidak mesti meninggalkan mengerjakan haji di Baitullah pada sesuatu waktu ketika hampirnya hari kiamat ,

Daripada hadis-hadis Rasulullah SAW, jelas bahawa Yakjuj dan Makjuj ini akan muncul pada akhir zaman di Baitulmaqdis dan membuat kerosakan dimuka bumi.

Wallahu’alam

Rujukan:

1. Prof.Dr H. Mahmud Yunus: Tafsir Quran Karim; Klang Book Centre, 1992
2. Imam Muslim: Tarjamah Shahih Muslim Jilid IV; CV Asy Syifa Semarang, 1993
3. Ibnu Kathir : Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Kiamat; Darul Fajr,
cetakanke 2 ; 2004
4. Usamah Yusuf Rahmat : Kiamat Sudah Dekat; Berlian Publication Sdn Bhd, 2010
5. Ustaz Jaafar Salleh : 3 Tokoh Bakal Menakluk Dunia; Pustaka Azhar, 2009
6.Yusuf b Abdillah b Yusuf al-Wabil : Hari Kiamat Sudah Dekat; PT Pustaka Ibnu Katsir, cetakan ke 3 Julai 2009
7. http://www.gph.gov.sa/index.cfm?do=cms.quranexplorer
8. http://www.mahdi-antichrist-freemasonry.com/

Saturday, July 17, 2010

Kenali Injil Barnabas Yang Hampir Selari Dengan Islam


Injil Barnabas merupakan sebuah kitab Injil versi Barnabas. Injil Barnabas tidak dianggap sebagai kanon oleh penganut Kristian. Oleh itu membaca Injil Barnabas dilarang sama sekali.

Kitab Injil Barnabas terdapat beberapa versi . Injil Barnabas dikatakan ditulis oleh St Barnabas iaitu murid Jesus. St Barnabas ialah pakcik Markus. Beliau telah merantau dari Palestin ke Damsyik dan dari Philip ke Sinai untuk mengembangkan agama Kristian. Kuburnya ditemui di pulau Cyprus di Lautan Mediterranean pada zaman Maharaja Zeno ( 478 m). Satu salinan Injil yang ditulis dengan tangannya sendiri ditemui di dada jenazah St Barnabas .

Injil ini popular di kalangan orang Islam kerana hampir sejalan dengan ajaran Islam. Tetapi Injil Barnabas hampir tidak dikatahui oleh orang Kristian kerana ia amat bertentangan dengan Triniti. Ramai orang Islam hanya pandai menyebut Injil Barnabas tetapi tidak pernah membacanya.

Injil Barnabas dikatakan ada dua manuskrip iaitu dalam bahasa Sepanyol dan dalam bahasa Itali. Injil Barnabas dalam bahasa Itali disimpulkan sebagai ditulis pada akhir abad ke-16 sementara dalam bahasa Sepanyol ditulis abad ke-18. Namun pengkaji Kristian mendakwa Injil Barnabas versi Sepanyol lebih tulen.

Ketulenan Injil Barnabas

Manuskrip Itali dan Sepanyol dilihat mempunyai gaya bahasa dan penulisan Constantinople / Istanbul kerana ada catatan kaki berbahasa Arab . Constantinople ialah nama lama bagi bandar Istanbul di Turki. . Masyarakat Constantinople mungkin berbahasa Itali dan Sepanyol. Artifak -artifak Sacromonte di Granada 1590-an dihasilkan setelah orang Islam diusir dari Sepanyol. Granada Moor jatuh ke tangan Kristian pada 1492 M. Tetapi orang Islam Mudejar dan Sephandi Yahudi masih menetap di Venezia di Kesultanan Ottoman , Turki.

Pengkaji lain mendakwa Injil Barnabas tidak ditulis di Istanbul, tetapi di Rome , Itali kerana ungkapan syahadah dalam Injil Barnabas tidak sama dengan syahadah bahasa Arab .

Dikritik oleh Pendeta Kristian

Injil Barnabas telah dikritik oleh oleh 3 dekrit berikut :

Dekrit Gelasius menyebut Evangelium Barnabas sebagai Injil yang dilarang. Injil ini kemudian ditemui dalam Perpustakaan Paus Sijtus V ( 1585 - 1590 ) dan ditemui oleh seorang pastor bernama Pra Marino atau Vra Marino. Injil Barnabas telah dipakai di Gereja sehingga ke masa Dekrit Gelasius.

Injil Barnabas telah 'disembunyikan' bersama-sama Injil-Injil yang lain yang disebut sebagai Apocrypha. Kebanyakan daripada Injil-Injil ini berjaya dimusnahkan. Sebahagian lagi hanya diketahui namanya sahaja.

Satu naskah Injil Barnabas yang berhasil lolos oleh Pastor Vra Marino yang sekarang berada di National Bibliothek, Vienna, Austria. Dari naskah yang menarik ini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk oleh Dr Khalil Saadah.

Tiga dekrit di atas berlaku sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Nabi Muhamad dilahirkan pada 571 m.

Sarjana Kristian Mesir, Dr Khalil Saadah menyatakan Injil Barnabas yang tersimpan di Perpustakaan Vienna , Austria adalah penemuan tak ternilai dalam sejarah. Tebalnya 225 halaman.

Injil Barnabas dilihat sangat anti Triniti dan anti Paul. Sedangkan dalam Bible yang diterima pakai oleh Paus, Paul lebih penting daripada Jesus.

Kisah pastor Vra Marino dianggap sebagai cubaan mendiskredit tokoh-tokoh gereja Katolik Rome pada 1590-an. Vra Marino dianggap cuba memalukan Paus Siktus V yang menjadi ketua gereja pada tahun 1585-1590. Oleh itu Injil Barnabas dianggap sebagai hoax.

Kandungan Injil Barnabas

Paul telah menyeleweng

  • Bahawa Paul adalah orang yang sesat dan menyeleweng dari ajaran Jesus yang sebenarnya.(Lihat Barnabas Kata pendahuluan ayat 7 dan 222:3)

Saul yang bergelar Paul atau Pulus adalah seorang yang amat memusuhi agama yang diajarkan oleh Jesus dan pengikut-pengikutnya. Dia tidak pernah belajar kepada Jesus sendiri . Kemudian tiba-tiba ia mengaku bertaubat, seterusnya mengaku pula menjadi rasul Jsus. Dan akhirya oleh penganut Kristian mengakuinya juga sebagai seorang rasul Jesus yang dipenuhi Roh Kudus. Empat belas surat keterangannya dimasukkan dalam golongan kitab-kitab Perjanjian Baru dan dianggap sebagai kanon dan kitab suci. Barnabas menyatakan Paulus sebagai telah menyeludup ke dalam agama Kristian dan mengaku menjadi pengikut Jesus untuk menyelewengkan agama itu dari dalam. Barnabas menyatakan sebab dia menulis Injil Barnabas kerana faktor Paulus yang menyeleweng ini. ( Barnabas Kata Pendahuluan 1-9) ms 51

Jesus tidak mati disalib tetapi Judas Iskariot mati disalib

  • Bahawa Jesus tidak disalibkan yang disalibkan ialah Judas Iskariot.( Lihat Barnabas 112:13-16 ;215:1-6; 217:77-81)

Pasal 215,216,217 dalam Injil Barnabas menyatakan Jesus tidak mati disalib. Sebaliknya Judas Iskariot yang mati disalib.

Judas Iskariot mengetahui Jesus bersebunyi dari sebuah rumah ke sebuah kebun dan berdoa. Lantas Judas Iskariot menawarkan maklumat itu kepada Imam Besar Yahudi dengan wang 30 keping emas. Sepasukan askar dengan dipandu oleh Yudas Iskariot pergi ke kebun itu. Allah telah memerintahkan malaikat Jibril, Mikhail, Rufail dan Uril membawa Jesus ke langit. 11 orang murid Jesus sedang tidur.

Dengan takdir Allah, Judas Iskariot berubah rupa dan wajahnya menyerupai Jesus. Judas Iskariot menafikan dirinya Jesus walaupun disoal berulang-kali. Judas ditangkap oleh askar dan dibawa ke Jerusalem. 11 murid Jesus berjaya menyelamatkan diri. Judas diseksa, ditutup matanya dan hampir menjadi gila. Tetapi semua yang melihat hanya ketawa kerana menyangka Judas Iskariot buat-buat gila. Jika orang Kristian melihat pasti mereka kasihan.

Kemudian Judas diserahkan kepada Pilatus (wakil pemerintah di situ). Judas dipakaikan dengan pakaian ganjil berwarna unggu dan mahkota menyerupai raja Yahudi. Yudas dibawa ke Bukit Tengkorak dalam keadaan disalib dan bertelanjang. Yudas berteriak "Ya Allah, mengapa engkau tinggalkan aku. Orang yang bersalah terlepas sedangkan aku mati teraniaya".

Ibu Jesus dan lain-lain telah mengkebumikannya. Barnabas , Yahya, Yakub serta Maryam ibu Jesus telah pergi ke Nazareth. Beberapa orang telah menggali kubur Judas, menyembunyikan jenazah Judas dan menyebarkan berita Jesus telah bangkit sesudah mati disalib.

Kemudian Allah telah memerintahkan malaikat membawa Jesus turun ke bumi untuk menemui Maryam yang kesedihan. Jesus memerintahkan Barnabas menulis kitab Injil.

Pada hari ke-3, Jesus memerintahkan Yakub dan Yahya mengumpulkan tujuh orang muridnya termasuk Nikodimus dan Yusuf. 72 orang lain lain turut hadir untuk makan malam di Bukit Zaitun. Bukit Zaitun adalah tempat Jesus naik semula ke langit.

Jesus menghalau Paul yang mendakwa dirinya Allah atau Anak Allah

  • Bahawa Jesus dengan tegas mengengkari ketuhanannya dan mengengkari dirinya sebagai Anak Allah. ( Lihat Barnabas 52:10-14; 94:1-2 ; 112- 5 ; - 10 ; 206: 2-6)

Barnabas menulis Jesus murka kepada Paul dan menuduh Paul sebagai iblis yang berusaha membuatkan Jesus berdosa. Ini kerana Paul memanggil Jesus sebagai Allah atau Anak Allah.( Barnabas 53:6 ; 69:6 ; 70:1, 94:1)

Selaras dengan Islam

Tokoh Islam dari Mesir , Rashid Rida dan Sayyid Abul Ala Maududi dari Pakistan menggunakan Injil Barnabas untuk menerangkan tentang Jesus. Namun Injil Barnabas bukanlah Injil tulen 100 % tetapi mungkin telah ditokok dan dibuang bahagian-bahagiannya. Injil Barnabas dilihat lebih otentik berbanding Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Yohanes.

Sarjana Islam berpendapat tidak mungkin Injil Barnabas dihasilkan oleh orang Islam sendiri.

  • Injil Barnabas membenarkan minum anggur ( arak ?) tetapi Islam melarang keras.
  • Barnabas menggalakkan perkahwinan monogami .Sedangkan Islam membenarkan poligami jika mampu.
  • Ucapan syahadah tidak sama dengan ucapan syahadah orang Islam berbahasa Arab masa kini.

Rujukan

  • HM Arshad Talib Lubis, Perbandingan Agama : Kristen dan Islam , Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur , 1982, hlm 369


Sumber: Antara Petikan Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Petikan Artikel Penuh:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Injil_Barnabas