Thursday, September 2, 2010

AZAN SOLAT FARDHU, IQAMAH DAN 2 KALI AZAN SOLAT JUMAAT

Azan Solat Fardhu dan Iqamah

Azan secara etimologis ialah bermaksud pemberitahuan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan inilah suatu pemakluman(azan) daripada Allah dan RasulNya kepada umat manusia….”.
(Surah al-Tawbah 9:3)

Menurut istilah syariat, azan ialah suatu perkataan khusus yang digunakan untuk memberitahukan waktu solat fardhu atau pemberitahuan akan masuknya waktu solat dengan lafaz-lafaz khusus . Sedangkan iqamah ialah pemberitahuan akan permulaan solat .

Sebahagian fuqaha’ berpendapat bahawasanya azan dan iqamah termasuk salah satu amalan yang hukumnya sunat muakkad. Begitulah pandangan yang dikemukakan oleh mazhab Maliki, Syafi’i, serta pandangan sebahagian pengikut mazhab Hanbali. Para fuqaha yang lainnya seperti mazhab Hanafi, Zaidiyah dan Zhahiri mewajibkan azan dan iqamah.

Azan Solat Jumaat

Azan solat Jumaat yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW masih hidup, ianya dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar untuk memulakan khutbah. Begitu juga pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra . Namun pada zaman Uthman ra perlaksanaan azan ditambah menjadi dua kali sepertimana riwayat berikut:

Dari Saib b. Yazid ra, beliau berkata: Azan dihari jumaat dimulai setelah imam duduk di atas mimbar, Begitulah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW, pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra. Namun pada zaman Uthman ra apabila ramai di kalangan manusia memeluk Islam, maka azan ditambah menjadi dua kali(3 kali)* sebagaimana yang dilakukan di az-Zaurak”.
(Hadis Riwayat al Bukhari)

*Menurut catatan asal matan Arab dan terjemahan Sahih Bukhari menyatakan 3 kali azan namun berdasarkan nota kaki terjemahan Sahih Bukhari yang dimaksud 3 kali azan ialah termasuk iqamah.

Sahih Bukhari 'English version':
Translation of Sahih Bukhari, Book 13:
Volume 2, Book 13, Number 36:

Narrated As-Saib bin Yazid:

The person who increased the number of Adhans for the Jumua prayers to three was Uthman bin Affan and it was when the number of the (Muslim) people of Medina had increased. In the life-time of the Prophet I there was only one Muadh-dhin and the Adhan used to be pronounced only after the Imam had taken his seat (i.e. on the pulpit).

Volume 2, Book 13, Number 38:

Narrated As-Sa'ib bin Yazid I :

'Uthman bin 'Affan introduced the second Adhan on Fridays when the number of the people in the mosque increased. Previously the Adhan on Fridays used to be pronounced only after the Imam had taken his seat (on the pulpit).


Manakala menurut Al Hafiz Ibn Hajar pada zaman Khalifah Omar ra 3 orang muazzin melaungkan azan serentak sepertimana riwayat berikut; (Kitab Fathul Bari’: 295; riwayat yang semuanya berasal dari Muaz b Jabal) mengatakan bahawa Umar al Khattab ra memerintahkan dua orang muazzin pada hari jumaat supaya berazan di luar masjid agar didengar oleh orang banyak. Selain itu iapun memerintahkan muazzin lain supaya berazan di depannya sendiri, sama dengan kebiasaan yang terjadi pada masa hidupnya Nabi SAW dan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq ra. Khalifah Umar mengatakan “ Kami menempuh bid’ah(hasanah) kerana semakin banyaknya kaum muslimin”.

Keterangan lanjut:

“Dari Saib b Yazid ra, beliau berkata: Azan dihari jumaat dimulai setelah imam duduk di atas mimbar, Begitulah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra. Maka setelah berada pada zaman Uthman ra apabila ramai di kalangan manusia memeluk Islam, maka Uthman ra memerintah agar melaksanakan azan yang kedua, lalu dilakukan azan itu. Maka kekallah keadaan itu hingga kini”.
(Hadis Riwayat asy Syafi’i)

Oleh itu rujukan kepada kitab – kitab ulama yang mensyarahkan hadis Bukhari , Muslim dan lainnya bagi mengelakkan salah faham maksud hadis berkenaan dan hukum-hakam yang lainnya adalah perlu, sepertimana tafsiran segolongan mereka yang mudah membida’ah amalan muslim yang lain seperti amalan qunut dan sebagainya atau segolongan syiah yang menyalah tafsirkan hadis Bukhari, Muslim dan lain-lain.


Sesungguhnya sahabat Rasulullah SAW, Khulafa ar Rasyidin yang paling memahami soal sunnah dan bid’ah serta pembatasan antara keduanya dalam soal amalan- amalan (khilafiyah) yang bukan perkara prinsip dalam Islam bagi tujuan maslahah ummah. Jadi kita menolak mereka yang mudah membid’ah amalan muslim lain yang bukan dalam perkara prinsip dalam Islam( iaitu amalan khilafiyah), yang menjadi majoriti amalan muslim seperti amalan qunut, lafaz niat dan sebagainya. Jika benar mereka yang mudah membida'ah muslim lain, tidak bermazhab maka setiap mereka perlu menjadi mujtahid menggali sendiri dalil bukan hanya bertaklid dengan kitab karangan tokoh pujaan mereka sahaja. Jika demikian terjadi ini bermakna mereka bermazhab tokoh tersebut. Sedangkan pintu ijtihad dalam perkara yang boleh dilakukan ijtihad terbuka luas bagi perkembangan ilmu. Secara umumnya kita bermazhab kerana kemampuan seseorang menggali sumber dalil adalah terhad dan kita mengikut ulama yang menjadi pewaris para nabi dalam sesuatu masalah yang menjadi maslahah kepada ummah. Bertepatan dengan hadis sohih Baginda SAW yang memerintahkan umatnya mengikut Sunnah Rasulullah SAW dan Sunnah Khulafa arRasyidin. Khulafah ar Rasyidin maknanya termasuk juga para alim ulama yang diamanah sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Islam.

Hadis ada menyebutkan betapa ramainya manusia sesat dengan kerana al kitab. Namun hadis lain pula menyatakan ilmu akan terikat atau disimpan baik dan diwarisi dengan adanya al kitab. Oleh itu sumber ambilan kita perlulah pelbagai bagi mengkaji kesahihan sesuatu dalil itu bukan tertumpu hanya satu tokoh tertentu sahaja. Sebenarnya kita berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat bagi menggalakkan pengkajian, penggalian dan perkembangan ilmu.

Wallahua’lam.

Rujukan :

1. Imam Al Bukhari: Terjemahan Sahih Bukhari; Klang Book Centre, 1990
2. Dr Abd Al Karim Zaidan: Ensaiklopedia Fiqh Wanita , Taharah Dan Solat
3. Ust. Johari Yaman: Bimbingan, Penghayatan dan Kesempurnaan Solat; Nadi Minda Resources, 2010
4. H.M.H. Al Hamid Al-Husaini: Liku-Liku Bid’ah dan Masalah Khilafiyah; Pustaka Nasional PTE LTD, 1998
5.http://www.iiu.edu.my/deed/hadith/bukhari/013_sbt.html