Saturday, October 1, 2011

Salaf Tidak Pernah Takwil?


PENGENALAN
Dewasa ini, seringkali kita mendengar perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam dengan menjadikan isu-isu khilaf sebagai subjek utama perbahasan sehinggakan sampai kepada tahap membidaah dan mengkafirkan sesama Islam. Sikap segelintir puak yang begitu bersungguh-sungguh menabur bibit-bibit fitnah ini terus dilontarkan kepada masyarakat Islam lantas terjadilah permusuhan sesama Islam lantaras isu-isu khilaf yang mustahil dapat dihapuskan sehingga Kiamat.
Antara isu yang hangat diperkatakan ialah isu ayat-ayat sifat bagi Allah SWT. Saya melihat isu ini sentiasa dihangatkan oleh mereka sehingga mengundang rasa tidak tenteram kepada umat Islam. Di kesempatan ini, saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan ketika berhadapan dengan isu ini. Saya sedaya upaya menggunakan bahasa dan perbahasan yang mudah difahami oleh masyarakat kebanyakkan. Semoga mendapat manfaat dari penjelasan ini.
ADAKAH ALLAH SWT MENYERUPAI MAKHLUK?
Adapun perbahasan mengenai pentakwilan ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW pada sifat Allah SWT seringkali dibahaskankan pada kitab-kitab akidah yang memuatkan penjelasan terhadap manhaj salaf dan khalaf. Perbahasannya agak panjang.
Sebagai permulaan kepada perbincangan ini, terlebih dahulu saya ingin menetapkan kefahaman pembaca bahawa Allah SWT sama sekali tidak sama dengan sebarang perkara baharu, seperti mana ayat al-Quran al-Karim berikut:
Firman Allah Taala bermaksud:
Tiada ada sesuatupun yang serupa denganNya (Allah Taala) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Syuura: Ayat 11).
Ayat al-Quran di atas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT tidak serupa sama sekali dengan apa-apa jua makhluk-makhluk yang lainnya. Ini bertepatan dengan salah satu Sifat 20 iaitu Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadis.
APAKAH MAKSUD TAKWIL?
Secara ringkasnya, takwil bermaksud memindahkan lafaz daripada makna zahirnya. Takwil boleh dibahagi kepada dua:
- Takwil ijmali.
- Takwil tafsili.
Tawil ijmali digunakan oleh golongan Salaf iaitu memindahkan lafaz daripada makna zahirnya dan kemudian diserahkan maksud sebenar sesuatu lafaz itu kepada Allah SWT. Cara ini juga dikenali sebagai tafwidh (penyerahan).
Manakala takwil tafsili pula digunakan oleh golongan Khalaf iaitu memindahkan lafaz dari makna zahirnya dan kemudian menentukan maksud yang dimahukan dari lafaz tadi. Namun takwilan tersebut masih berlegar di ruang lingkup sesuai dengan Allah SWT.
Cara Khalaf dilihat lebih rapi dan lebih memberi faham kerana di sana terdapat penambahan maklumat dan penjelasan serta berkesan menolak syubahat daripada firaq bidaah. Manakala cara Salaf pula adalah lebih selamat kerana dia tidak menentukan apakah maksud sebenar lafaz itu kerana takut terjatuh kepada makna yang bukan yang dikehendaki oleh Allah SWT.
KENAPAKAH BERLAKU PERSELISIHAN?
Tujuan kedua-dua cara ini adalah sama iaitu untuk membersihkan Allah Taala daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk. Perbezaan kedua-dua golongan ini berlaku kerana berbeza pandangan dalam menentukan tempat berhenti (waqaf) pada ayat 7 surah ali-Imran:
وَ مَا يَعلَمُ تَأوِيلَهُ إِلا اللهُ
Bermaksud: Dan tiadalah yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.
Ataupun:
وَ مَا يَعلَمُ تَأوِيلَهُ إِلا اللهُ وَ الرَّاسِخُونَ فِي العِلمِ
Bermaksud: Dan tiadalah yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang mendalam ilmunya.
Golongan Salaf berpandangan waqaf seperti yang pertama. Lalu mereka (Salaf) berpendapat yang mengetahui tentang takwil hanyalah Allah SWT sahaja dan makhluk tidak berpeluang menyelongkar maknanya. Manakala golongan Khalaf berpandangan waqaf adalah seperti yang kedua. Lalu mereka (Khalaf) berpendapat yang mengetahui tentang takwil adalah Allah SWT dan para alim ulama.
Sebagai contoh, di dalam firman Allah SWT pada ayat 5 surah Toha:
الرَّحمَانُ عَلَى العَرشِ استَوَى
Bermaksud: Ar-Rahman (Allah SWT) itu beristiwa di atas arasy.
Salaf mengatakan istiwa tidak kita ketahui maksudnya. Manakala Khalaf mengatakan istiwa di situ dengan maksud istila (menguasai).
MANA SATUKAH GOLONGAN YANG BENAR?
Kedua-dua manhaj (Salaf dan Khalaf) adalah bertepatan dan ianya boleh digunakan. Tiada perbalahan sehingga membawa perpecahan di antara kedua-duanya. Imam Abu Hassan al-Asy’ari juga turut menggunakan kedua-dua cara di atas dalam menerangkan ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW yang meletakkan sifat Allah SWT seperti contoh ayat di atas (Surah Toha: ayat 5) ini. Sila rujuk kitabnya seperti al-Ibanah (menggunakan cara Salaf) dan al-Luma (menggunakan cara Khalaf).
Oleh itu, tidak boleh dilontarkan tuduhan bidaah, kafir dan sebagainya jika seseorang itu cenderung menggunakan salah satu dari cara tersebut. Ini kerana, kedua-dua cara itu adalah betul. Jadi, sesiapa yang mudah melontarkan kata-kata bidaah, kafir dll terhadap orang lain yang tidak sealiran dengan kecenderungannya itu, maka sebenarnya dia yang tidak memahami perbahasan ilmu akidah Islam.
SALAF TIDAK MENTAKWILKAN LANGSUNG?
Sebilangan golongan Salaf turut mentakwil ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW yang difikirkan perlunya pentakwilan ini. Dengan itu, tertolaklah hujjah golongan Wahabi yang mengatakan golongan Salaf tiada pentakwilan langsung. Sebagai contohnya:
1. Imam Malik dan Imam Ahmad mentakwilkan ayat berikut:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan datanglah Tuhanmu.
(Surah al-Fajr: Ayat 22).
Imam Ahmad mentakwikan ayat al-Quran al-Karim di atas dengan makna: Dan datanglah pahala dari Tuhan. (Sila rujuk al-Bidayat wa al-Nihayat karangan Imam Ibnu Khathir).
Imam Malik pula mentakwilkan ayat al-Quran al-Karim di atas dengan makna: RahmatNya yang turun. (Sila rujuk al-Salafiyyah al-Muasarah karangan Syeikh Abdullah bin Abd Rahman).
2. Imam Malik turut mentakwilkan sebuah hadis (riwayat al-Bukhari) tentang turunnya Tuhan pada waktu tengah malam dengan turunnya perintahNya. (Sila rujuk Siyar Alam al-Nubala karangan Imam al-Zahabi).
3. Imam Sufyan al-Thauri mentakwilkan ayat istiwa (surah al-Baqarah: Ayat 29) dengan maksud berkehendak menciptakan langit. (Sila rujuk Jamik al-Bayan karangan Imam al-Tobari).
4. Imam al-Bukhari turut mentakwilkan sebuah hadis (riwayat al-Bukhari dan Muslim) tentang Allah SWT tertawa dengan maksud rahmat Allah SWT. (Sila rujuk al-Asma wa al-Sifat karangan Imam al-Baihaqi). Bahkan Imam al-Bukhari turut mentakwilkan ayat al-Quran al-Karim (surah al-Qashash: Ayat 88) tentang wajah Allah SWT dengan kerajaan Allah SWT. (Sila rujuk Fath al-Bari karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani).
Demikianlah beberapa contoh yang menunjukkan bahawa generasi Salaf juga mentakwilkan ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW. Jika ini dijadikan ukurannya, maka golongan Wahabi yang mengatakan sesiapa yang melakukan takwilan adalah bidaah dan kafir, sesungguhnya mereka sebenarnya telah menghukum para ulama Salaf dengan satu tuduhan yang amat berat!
APAKAH KAITAN DENGAN GOLONGAN MUJASSIMAH?
Golongan Mujassimah atau Musyabbihah ialah golongan berpendapat bahawa sifat Allah SWT itu menyerupai sifat makhluk seperti mengatakan Allah SWT bertangan, berkaki dan bermuka sebagaimana sifat makhluk. Mereka memahami ayat-ayat sifat Allah SWT dengan makna zahir semata-mata namun tanpa sedar mereka turut menjisimkan Allah SWT. Menurut Ibnu al-Bana dalam kitabnya al-Mukhtar fi Usul al-Sunnah, golongan Musyabbihah atau Mujassimah ini menjadikan segala sifat Allah SWT seperti sifat-sifat makhluk meliputi zat, sifat dan perbuatan Allah SWT.
Walaupun mereka mendakwa mereka berpegang dengan manhaj Salaf, tetapi hakikatnya mereka terpesong daripada manhaj itu. Mereka berlebih-lebihan di dalam membicarakan ayat-ayat sifat sehingga sampai ke tahap menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Golongan ini terpesong dari akidah Islam yang mengatakan Allah SWT tidak menyamai sebarang perkara baharu.
KESIMPULAN
Daripada penjelasan ringkas ini, dapatlah kita fahami bahawa kedua-dua manhaj iaitu Salaf dan Khalaf adalah bertepatan dengan Islam. Jadi, sebagai umat Islam yang sayangkan agamanya, kita perlu menjauhkan diri dengan segelintir golongan (terutamanya Wahabi) yang begitu mudah membidaah dan mengkafirkan orang lain yang tidak sealiran dengan mereka.
Sekian.

Wallahualam.
Lain - Lain :Nas - Nas Mutasyabihat: Perbezaan Salafi Dan Wahabi>>>


Sumber/Petikan


buluh.iluvislam.com
http://buluh.iluvislam.com/?p=159
Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab


Tuesday, September 27, 2011

Nas-Nas Mutasyabihat: Perbezaan Salaf dan Wahabi




Persoalan sebegini merupakan persoalan yang seringkali bermain-main difikiran kita terutamanya ketika membahaskan perihal nas-nas mutasyabihat. Tambah merumitkan lagi, aliran Wahabi juga turut mengakui mereka berpegang dengan metod Salaf untuk tidak mentakwilkan nas-nas mutasyabihat yang berbentuk sifat. Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah: Adakah metod Salaf mempunyai persamaan dengan metod Wahabi di dalam memahami nas-nas mutasyabihat?

Sebelum saya ingin meneruskan perbincangan, eloklah kiranya kita mengetahui terlebih dahulu tentang metod yang digunakan oleh Salaf dan Khalaf di dalam permasalahan ini DI SINI.

SOROTAN ALIRAN MUJASSIMAH/MUSYABBIHAH – WAHABI

Jika kita melihat kepada sorotan aliran pemikiran akidah, Syiah aliran Hisyamiyyah merupakan antara aliran terawal di dalam Islam yang mempunyai pegangan Allah SWT itu berjisim dan mempunyai bentuk tertentu. Pegangan seperti ini tidaklah menghairankan memandangkan aliran Syiah itu sendiri mula dicetuskan oleh seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk agama Islam bernama Abdullah bin Saba.

Selepas itu, pegangan Syiah ini mula dipopularkan semula oleh aliran Mujassimah/Musyabbihah dengan mengatakan bahawa sifat Allah SWT itu menyerupai sifat seperti makhlukNya. Atas dasar ini, mereka mendakwa bahawa Allah SWT itu mempunyai tangan, kaki, muka dan sebagainya lagi berdasarkan kefahaman mereka terhadap nas-nas mutasyabihat berbentuk sifat. Mereka memahami nas-nas mutasyabihat itu dengan makna zahir semata-mata sehingga membawa kepada penyerupaan Allah SWT dengan makhlukNya tanpa mereka sedari. Mereka dilihat terlalu berlebih-lebih di dalam tafwidh untuk tidak melakukan takwil terhadap nas-nas mutasyabihat.

Kemudian pemikiran aliran Mujassimah/Musyabbihah ini berjangkit pula kepada sebilangan pengikut Imam Ahmad bin Hanbal. Sebagai buktinya, ketika Imam al-Asy’ari memberikan buku beliau bertajuk al-Ibanah kepada salah seorang pengikut mazhab Hanbali pada zamannya yang bernama al-Barbahari (tokoh Hanbali yang terpengaruh dengan pemikiran aliran Mujassimah/Musyabbihah), buku tersebut telah ditolak oleh al-Barbahari. Penolakan ini dilihat sangat menghairankan memandangkan al-Ibanah ditulis berdasarkan metode Imam Ahmad bin Hanbal.

Pemikiran ini terus berlarutan sehinggalah sampai ke kurun ke-4 dan ke-5 Hijrah. Tokoh mazhab Hanbali yang dilihat terpengaruh dengan aliran Mujassimah/Musyabbihah pada ketika itu ialah Abdullah bin Hamid, Qadhi al-Fara’ Abu Yala dan Ibn al-Zaghuni. Seorang tokoh ulama mazhab Hanbali iaitu Imam al-Jauzi (bukan Ibn Qayyim al-Jauzi) telah bangun menjelaskan kepincangan pemikiran ini daripada merosakkan mazhab Hanbali. Beliau telah mengembalikan semula metode sebenar Imam Ahmad bin Hanbal kepada pengikut mazhab Hanbali.

Kemudian pemikiran aliran ini dihidupkan semula pada kurun ke-7 Hijrah oleh Ibn Taimiyyah dan diikuti pula oleh muridnya Ibn Qayyim. Metodenya dilihat mempunyai persamaan dengan pengikut Hanbali sebelum ini kerana mereka mengakui bahawa mereka mengikut metode Salaf pimpinan Imam Ahmad bin Hanbal, tetapi mereka turut terjerumus di dalam aliran Mujassimah/Musyabbihah. Pegangan Ibn Taimiyyah ini terus diikuti pula oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang menjadi pengasas aliran Wahabi.

KEKELIRUAN WAHABI TERHADAP NAS-NAS MUTASYABIHAT

Sebilangan pengikut mazhab Hanbali yang terjerumus ke dalam fahaman Mujassimah/Musyabbihah ini sebenarnya menghadapi kekeliruan di dalam memahami metode Salaf pada 7 keadaan. Seorang ulama mazhab Hanbali iaitu Imam al-Jauzi di dalam karyanya Al-Baz al-Asyhab al-Munqada Ala Mukhalifi al-Mazhab (juga dikenali sebagai Daf’ Syubhat al-Tasybih) telah menjelaskan kekeliruan mereka itu sepertimana berikut:

1. Mereka menyatakan bahawa khabar adalah sifat sedangkan ia adalah idafat. Ini kerana bukan setiap idafat itu adalah sifat.

2. Mereka menyatakan bahawa hadis-hadis mutasyabihat tidak diketahui pengertiannya melainkan Allah SWT sahaja. Tetapi mereka memahaminya secara zahir.

3. Mereka menyakini bahawa Allah SWT itu mempunyai sifat-sifat tertentu tetapi sifat-sifat tersebut tidak dapat disabitkan melainkan dengan apa yang disabitkan oleh dalil-dalil qati sahaja.

4. Mereka tidak dapat membezakan di antara hadis-hadis masyhur dan daif sehingga mengambil kedua-duanya sekali.

5. Mereka tidak dapat membezakan di antara hadis marfu dan mauquf sehingga mengambil kedua-duanya sekali.

6. Mereka mentakwilkan beberapa lafaz di dalam sesuatu perkara tertentu tetapi tidak mentakwilkan di dalam perkara yang lain.

7. Mereka memahami hadis-hadis berdasarkan kesesuaian pancaindera manusia seperti mengatakan Allah SWT turun, berpindah dan bergerak dengan zatNya, tetapi tidak seperti yang difikirkan manusia.

Jika kita perhatikan, salah satu daripada 7 perkara ini sudah tentu menjadi pegangan aliran Wahabi di dalam memahami nas-nas mutasyabihat. Namun begitu, mereka tetap mempertahankan pegangan mereka itu atas alasan ia adalah metode Salaf yang sebenarnya.

KEFAHAMAN SALAF TERHADAP NAS-NAS MUTASYABIHAT

Menurut Imam al-Ghazali di dalam karyanya Iljam al-Awwam an Ilm al-Kalam, kefahaman ulama Salaf yang sebenarnya ketika berinteraksi nas-nas sifat mutasyabihat seperti tangan dan jari Allah SWT, mereka mengetahui bahawa terdapat dua pengertian tentang sifat-sifat Allah SWT itu. Pertamanya, sifat-sifat tersebut adalah berbentuk majazi yang diketahui di kalangan bangsa Arab tanpa perlu kepada pentakwilan atau penafsiran. Keduanya, sifat-sifat tersebut mempunyai pengertian dari sudut bahasa yang boleh membawa kepada tajsim dan tasybih kepada Allah SWT. Namun kadang-kala perkataan seperti tangan turut digunakan bukan untuk menunjukkan jisim seperti: Negeri ini berada di tangan pemerintah. Oleh itu, setiap orang Islam mesti meyakini bahawa Rasulullah SAW tidak berkehendak untuk menyatakan sifat-sifat Allah SWT itu adalah jisim sekalipun mereka (iaitu Salaf) tidak melakukan takwil.

Sehubungan dengan itu, Imam al-Ghazali telah menggariskan 7 sikap yang menjadi pegangan ulama Salaf ketika berhadapan dengan nas-nas mutasyabihat iaitu:

1. Mensucikan Allah SWT dari jasad atau jisim serta perkara yang berkaitan dengannya.

2. Membenarkan dengan mengimani apa yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW.

3. Mengakui kelemahan bahawa mengetahui maknanya adalah harus bersesuaian dengan kemampuan diri dan tidak menjadi tanggungjawab.

4. Diam dan tidak bertanya-tanya atau mencari-cari tentang maknanya. Bertanya-tanya tentangnya adalah bidaah dan mencari-cari maknanya akan membahayakan agama.

5. Menahan diri dengan tidak menyingkap lafaz-lafaz tersebut dengan diganti atau diubah dengan bahasa atau lafaz yang lain.

6. Cukup dengan menahan diri daripada mencari-cari dan berfikir-fikir tentangnya.

7. Menyerahkan kepada orang yang lebih berilmu untuk menentukannya.

Berdasarkan penjelasan Imam al-Ghazali dan Imam al-Jauzi, jelaslah kepada kita bahawa Salaf tidak memahami nas-nas mutasyabihat berdasarkan pengertian zahir semata-mata. Mereka hanya membenarkan lafaz-lafaz mutasyabihat tersebut tanpa membawakan pengertiannya menurut kefahaman bahasa biasa. Ini kerana kefahaman dengan makna bahasa biasa akan menyebabkan tajsim dan tasybih kepada Allah SWT kerana ia membawa kepada pengertian zahir semata-mata.

KESIMPULAN

Walaupun terdapat perselisihan pendapat di antara aliran Salaf dan Khalaf dalam menghadapi nas-nas mutasyabihat, namun mereka tetap tergolong di dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah juga. Ini kerana keutamaan metode kedua-dua aliran ini tetap berpegang teguh dengan al-Quran al-Karim dan al-Sunnah SAW. Pendekatan Salaf dilihat lebih selamat, manakala pendekatan Khalaf pula dilihat lebih mengetahui dan bijaksana. Inilah kesepakatan di antara ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah sama ada daripada aliran Salaf atau Khalaf tanpa perlu menghukum kafir, bidaah atau sesat terhadap aliran yang tidak sependapat dengan mereka.

Pun begitu, kehadiran aliran Wahabi / Salafi Jadian telah mengubah kesepakatan ini. Mereka dilihat terlalu mudah menghukum kafir, bidaah atau sesat terhadap aliran yang bersalahan dengan pendapat mereka. Lebih menghairankan, mereka mengakui bahawa mereka berpegang dengan metode Salaf tetapi hakikatnya tidaklah begitu.

Wallahualam.

Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab

Sumber/Petikan

http://buluh.iluvislam.com/?p=188

Buluh.iluvislam.com

Thursday, September 8, 2011

ANJURAN BERAMAL DAN BEKERJA WALAUPUN KIAMAT HAMPIR TIBA

Firman Allah SWT di dalam Al Quran bermaksud :

"Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran".
(Surah al-Asr : Ayat 1- 3 )

Masa amat berharga tiada galang gantinya jika berlalu, oleh itu kelapangan yang dikurnia Ilahi hendaklah dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat, jangan biarkan masa berlalu dengan amalan atau perbuatan yang tidak mendapat keredhaanNya. Hatta jika hari kiamat tiba Rasulullah saw masih menganjurkan kita untuk bekerja dan berusaha kerana usaha yang mulia mendapat pahala disiNya, sepertimana sabda;

Rasulullah SAW bermaksud :

“Jika kiamat telah mulai terjadi, sedang ditangan salah seorang di antara kalian ada sebuah biji(benih tanaman), maka jika dia sempat menanamnya menjelang kiamat itu, hendaklah dia menanamnya”.
( Musnad: Ahmad; Al-Adab al Mufrad : Imam Bukhari)

Begitu juga kata-kata hikmat, Abdullah bin Umar r.a., beliau berkata: “ Bekerjalah untuk duniamu, seolah-olah kamu akan hidup selamanya, dan bekerjalah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati esok hari”.
(Kata-Kata Abdullah Bin Umar r.a. Riwayat oleh Ibn Qutaibah)

Sebagai Muslim, kita hendaklah redho dengan ketentuanNya atas segala musibah yang berlaku, kita dianjurkan berusaha, berdoa dan bertawakkal supaya akhiran kehidupan kita dalam husnulkhatimah. Segala malapetaka atau bencana yang menimpa hatta tiba tanda-tanda kiamat kita dianjur untuk bekerja dan beramal kerana setiap amalan muslim keranaNya akan mendapat ganjaran selayaknya di akhirat kelak. Wallahua'llam.

Lain-lain>>>

Wednesday, August 24, 2011

Tanda-Tanda Besar Kiamat: Tanda Dan Masa Matahari Terbit dari Barat

Firman Allah yang bermaksud:

“Yang mereka nanti-nanti tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka (untuk mencabut nyawa mereka), atau kedatangan Rabbmu atau kedatangan sebagian tanda-tanda Rabbmu. Pada hari datangnya sebagian tanda-tanda Tuhanmu tidaklah bermanfa’at lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya. Katakanlah: “Tunggulah olehmu sesungguhnya kamipun menunggu (pula)”. (QS. Al-An’am : 158)

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:
“Datang kepada kami Rasulullah saw. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.Lalu Nabi saw. bersabda:

“Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Dzar, dia berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Apakah kamu tahu kemanakah matahari ini akan pergi? Sesungguhnya ia adalah berjalan sehingga ia sampai ke suatu tempat di bawah Arasy, maka ia segera bersujud, ia selalu dalam keadaan sujud sehingga dikatakan kepadanya: “Naiklah kamu dan kembalilah ke tempat datangmu”, maka ia pun terbit dari tempat terbitnya. Kemudian ia berjalan sehingga ia sampai ke suatu tempat dia sujud sehingga dikatakan kepadanya: “Kembalilah kamu ketempat datangmu”, maka iapun terbit dari tempat terbitnya, kemudian ia terus berjalan dan tak seorang manusia pun yang mempertanyakannya sehingga ia sampai ke tempat asalnya di bawah Arasy, maka dikatakan kepadanya: “Naiklah dan terbitlah kamu dari tempat terbenammu”, maka iapun terbit dari tempat terbenamnya, apakah kamu tahu bilakah hal itu akan terjadi? Itu akan terjadi pada waktu tidak akan berguna iman seseorang yang belum pernah beriman sebelumnya atau belum pernah berbuat baik dengan imannya.”
(Riwayat Imam Muslim)

Pada hadis yang diriwayatkan oleh Al Hafizh Abu Bakar bin Mardawaih daripada ‘Abdullah bin Abu Aufa, berkata ia:


“Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya akan datang kepada manusia suatu malam yang sama lamanya dengan tiga malam kamu ini, apabila peristiwa itu terjadi maka ia akan diketahui oleh orang-orang yang sedang berbuat amal sunnat, dimana apabila salah seorang mereka membaca satu hizib (dari Al Qur’an) kemudian dia tidur, setelah bangun iapun membaca satu hizib lagi, kemudian ia tidur, dan ketika mereka melakukan itu, maka orang-orang saling berteriak: “Ada apakah ini?”, maka mereka pun lari berlindung ke masjid-masjid dan tiba-tiba mereka melihat matahari sudah terbit dari tempat terbenamnya, sehingga apabila ia telah sampai di tengah langit, iapun kembali dan terbit dari tempatnya, dia berkata, pada hari itulah imannya seseorang.”
tidak bermanfaat bagi dirinya sendiri.

Kemudian ibnu Mardawaih bertanya dari jalur Sufian at Thauri dari Huzaifah, dia berkata, aku bertanya kepada Nabi, apakah tanda terbitnya matahari dari barat? Beliau menjawab, malam itu menjadi panjang, sehingga panjangnya seukuran dua malam.
Al Hafizh Abu Bakar Al Baihaqi dalam kitab “Al Ba’tsu Wa Annusyur” meriwayatkan suatu hadis dari Ibn Mas’ud dia berkata , pada suatu malam di majlisnya; apakah kamu telah membaca firman Allah:

“matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam”.(al Kahfi: ayat 86)

Apa maksudnya?”mereka menjawab Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui; dia berkata: Sesungguhnya jika matahari terbenam, dia sujud kepada Allah , mensucikanNya dan mengagungkanNya , dia berada dibawah arasy, maka apabila waktu terbitnya telah tiba, dia bersujud kepadaNya , mensucikanNya dan mengagungkanNya. Kemudian meminta izin. Lalu apabila matahari ditahan, dia sujud kepadaNya dan mengagungkanNya, Kemudian meminta izin daripadaNya. Lalu kepadanya dikatakan,”kamu datang dan akan ditahan selama dua malam, dia berkata; orang-orang yang melaksanakan solat malam itu terkejut.
“Dan Pada malam itu seorang laki-laki akan memanggil tetangganya: “Wahai saudara apakah yang telah terjadi terhadap kita pada malam ini? Aku telah tidur sampai puas dan akupun telah solat sampai penat”, kemudian dikatakanlah kepadanya (matahari): “Terbitlah kamu dari tempat terbenammu” dan itulah hari yang tidak berguna iman seseorang yang tidak pernah beriman sebelumnya atau berbuat baik dalam imannya.” (Kitab Ibnu Katsir)

Tanda-tanda terbitnya matahari sebelah barat, Rasulullah saw telah mengisyaratkan dalam hadis bahawa sebelum berlakunya fenomena tersebut malam menjadi semakin panjang iaitu satu malam bersamaan 2 hari/malam sehingga seluruh manusia terkejut dengan fenomena tersebut. Apakah terjadi sekali atau lebih fenomena tersebut seperti disebutkan dalam hadis iaitu malam menjadi panjang sehingga 2 malam dan tiga malam, Allah yang maha mengetahui.

Fenomena panjangnya waktu malam bersamaan 2 malam atau tiga malam tidak mustahil berlaku kerana diketahui kutub utara dan selatan siangnya memakan waktu hampir selama 6 bulan dan malamnya hampir bersamaan 6 bulan. Begitu juga fenomena matahari terbit sebelah barat, Sesungguhnya Allah maha kuasa membuat sesuatu atas kehendakNya.

Wallahu’alam.

LAIN-LAIN>>>

Rujukan:

1. Prof.Dr H. Mahmud Yunus: Tafsir Quran Karim; Klang Book Centre, 1992
2. Imam Muslim: Tarjamah Shahih Muslim Jilid IV; CV Asy Syifa Semarang, 1993
3. Ibnu Kathir : Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Kiamat; Darul Fajr,
cetakanke 2 ; 2004

4. http://www.gph.gov.sa/index.cfm?do=cms.quranexplorer

5. http://aljaami.wordpress.com/2011/02/26/tanda-kiamat-matahari-terbit-dari-barat/

Friday, August 19, 2011

Maksud hadis: “Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir”


Diceritakan bahawa pada suatu hari al-Hafiz Ibnu Hajar melewati sebuah pasar dengan rombongan besar dan keadaannya yang bagus, lalu seorang yahudi penjual minyak biji rami datang menyerangnya, pakaiannya berlumuran minyak, dia sangat kotor dan buruk.

Kemudian dia menangkap Ibnu Hajar lalu berkata: “Wahai Syeikh Islam! Bagaimana pendapatmu tentang sabda Nabi kamu yang mengatakan: “Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir”. (HR Muslim dan Tirmizi)

Penjara apakah yang engkau dapatkan dan syurga apakah yang saya peroleh? Al Hafiz Ibnu Hajar berkata “ Bagi saya berdasarkan kenikmatan(perbandingan) yang dijanjikan di akhirat, seolah – olah saya sekarang dalam penjara. Bagi anda berdasarkan azab(perbandingan) yang sangat pedih yang dijanjikan Allah di akhirat, seolah-olah engkau sekarang berada di dalam syurga”. Orang Yahudi itupun masuk Islam.

Apa yang dapat kita fahami dari kisah Ibnu Hajar R.H., seseorang Muslim, miskin atau kaya
kehidupannya jika dibanding dengan nikmat yang dikurniakan Allah di akhirat kelak seolah-olah dunia ini adalah penjara baginya, manakala bagi yang bukan muslim sekaya manapun mereka atau semiskin larat betapapun, dunia ini ibarat syurga bagi mereka dibandingkan azab seksaan yang amat dasyat di akhirat nanti. Serta perlu diingat, Islam tidaklah menolak kebendaan/material tetapi kelebihan/kekayaan yang dikurniakan Allah hendaklah digunakan pada jalanNya seperti pemberian zakat, sedekah, bantuan amal dan seumpamanya. Kehidupan Muslim yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. adalah bersederhana dalam kehidupan tidak melampau atau berlebihan/pembaziran.

Wallahu,alam


Rujukan/Petikan:

Mutiara Tauhid Asas Akidah; Pustaka Al-Shafa; 2009

Thursday, September 2, 2010

AZAN SOLAT FARDHU, IQAMAH DAN 2 KALI AZAN SOLAT JUMAAT

Azan Solat Fardhu dan Iqamah

Azan secara etimologis ialah bermaksud pemberitahuan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan inilah suatu pemakluman(azan) daripada Allah dan RasulNya kepada umat manusia….”.
(Surah al-Tawbah 9:3)

Menurut istilah syariat, azan ialah suatu perkataan khusus yang digunakan untuk memberitahukan waktu solat fardhu atau pemberitahuan akan masuknya waktu solat dengan lafaz-lafaz khusus . Sedangkan iqamah ialah pemberitahuan akan permulaan solat .

Sebahagian fuqaha’ berpendapat bahawasanya azan dan iqamah termasuk salah satu amalan yang hukumnya sunat muakkad. Begitulah pandangan yang dikemukakan oleh mazhab Maliki, Syafi’i, serta pandangan sebahagian pengikut mazhab Hanbali. Para fuqaha yang lainnya seperti mazhab Hanafi, Zaidiyah dan Zhahiri mewajibkan azan dan iqamah.

Azan Solat Jumaat

Azan solat Jumaat yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW masih hidup, ianya dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar untuk memulakan khutbah. Begitu juga pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra . Namun pada zaman Uthman ra perlaksanaan azan ditambah menjadi dua kali sepertimana riwayat berikut:

Dari Saib b. Yazid ra, beliau berkata: Azan dihari jumaat dimulai setelah imam duduk di atas mimbar, Begitulah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW, pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra. Namun pada zaman Uthman ra apabila ramai di kalangan manusia memeluk Islam, maka azan ditambah menjadi dua kali(3 kali)* sebagaimana yang dilakukan di az-Zaurak”.
(Hadis Riwayat al Bukhari)

*Menurut catatan asal matan Arab dan terjemahan Sahih Bukhari menyatakan 3 kali azan namun berdasarkan nota kaki terjemahan Sahih Bukhari yang dimaksud 3 kali azan ialah termasuk iqamah.

Sahih Bukhari 'English version':
Translation of Sahih Bukhari, Book 13:
Volume 2, Book 13, Number 36:

Narrated As-Saib bin Yazid:

The person who increased the number of Adhans for the Jumua prayers to three was Uthman bin Affan and it was when the number of the (Muslim) people of Medina had increased. In the life-time of the Prophet I there was only one Muadh-dhin and the Adhan used to be pronounced only after the Imam had taken his seat (i.e. on the pulpit).

Volume 2, Book 13, Number 38:

Narrated As-Sa'ib bin Yazid I :

'Uthman bin 'Affan introduced the second Adhan on Fridays when the number of the people in the mosque increased. Previously the Adhan on Fridays used to be pronounced only after the Imam had taken his seat (on the pulpit).


Manakala menurut Al Hafiz Ibn Hajar pada zaman Khalifah Omar ra 3 orang muazzin melaungkan azan serentak sepertimana riwayat berikut; (Kitab Fathul Bari’: 295; riwayat yang semuanya berasal dari Muaz b Jabal) mengatakan bahawa Umar al Khattab ra memerintahkan dua orang muazzin pada hari jumaat supaya berazan di luar masjid agar didengar oleh orang banyak. Selain itu iapun memerintahkan muazzin lain supaya berazan di depannya sendiri, sama dengan kebiasaan yang terjadi pada masa hidupnya Nabi SAW dan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq ra. Khalifah Umar mengatakan “ Kami menempuh bid’ah(hasanah) kerana semakin banyaknya kaum muslimin”.

Keterangan lanjut:

“Dari Saib b Yazid ra, beliau berkata: Azan dihari jumaat dimulai setelah imam duduk di atas mimbar, Begitulah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW pada zaman Abu Bakar ra dan Umar ra. Maka setelah berada pada zaman Uthman ra apabila ramai di kalangan manusia memeluk Islam, maka Uthman ra memerintah agar melaksanakan azan yang kedua, lalu dilakukan azan itu. Maka kekallah keadaan itu hingga kini”.
(Hadis Riwayat asy Syafi’i)

Oleh itu rujukan kepada kitab – kitab ulama yang mensyarahkan hadis Bukhari , Muslim dan lainnya bagi mengelakkan salah faham maksud hadis berkenaan dan hukum-hakam yang lainnya adalah perlu, sepertimana tafsiran segolongan mereka yang mudah membida’ah amalan muslim yang lain seperti amalan qunut dan sebagainya atau segolongan syiah yang menyalah tafsirkan hadis Bukhari, Muslim dan lain-lain.


Sesungguhnya sahabat Rasulullah SAW, Khulafa ar Rasyidin yang paling memahami soal sunnah dan bid’ah serta pembatasan antara keduanya dalam soal amalan- amalan (khilafiyah) yang bukan perkara prinsip dalam Islam bagi tujuan maslahah ummah. Jadi kita menolak mereka yang mudah membid’ah amalan muslim lain yang bukan dalam perkara prinsip dalam Islam( iaitu amalan khilafiyah), yang menjadi majoriti amalan muslim seperti amalan qunut, lafaz niat dan sebagainya. Jika benar mereka yang mudah membida'ah muslim lain, tidak bermazhab maka setiap mereka perlu menjadi mujtahid menggali sendiri dalil bukan hanya bertaklid dengan kitab karangan tokoh pujaan mereka sahaja. Jika demikian terjadi ini bermakna mereka bermazhab tokoh tersebut. Sedangkan pintu ijtihad dalam perkara yang boleh dilakukan ijtihad terbuka luas bagi perkembangan ilmu. Secara umumnya kita bermazhab kerana kemampuan seseorang menggali sumber dalil adalah terhad dan kita mengikut ulama yang menjadi pewaris para nabi dalam sesuatu masalah yang menjadi maslahah kepada ummah. Bertepatan dengan hadis sohih Baginda SAW yang memerintahkan umatnya mengikut Sunnah Rasulullah SAW dan Sunnah Khulafa arRasyidin. Khulafah ar Rasyidin maknanya termasuk juga para alim ulama yang diamanah sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Islam.

Hadis ada menyebutkan betapa ramainya manusia sesat dengan kerana al kitab. Namun hadis lain pula menyatakan ilmu akan terikat atau disimpan baik dan diwarisi dengan adanya al kitab. Oleh itu sumber ambilan kita perlulah pelbagai bagi mengkaji kesahihan sesuatu dalil itu bukan tertumpu hanya satu tokoh tertentu sahaja. Sebenarnya kita berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat bagi menggalakkan pengkajian, penggalian dan perkembangan ilmu.

Wallahua’lam.

Rujukan :

1. Imam Al Bukhari: Terjemahan Sahih Bukhari; Klang Book Centre, 1990
2. Dr Abd Al Karim Zaidan: Ensaiklopedia Fiqh Wanita , Taharah Dan Solat
3. Ust. Johari Yaman: Bimbingan, Penghayatan dan Kesempurnaan Solat; Nadi Minda Resources, 2010
4. H.M.H. Al Hamid Al-Husaini: Liku-Liku Bid’ah dan Masalah Khilafiyah; Pustaka Nasional PTE LTD, 1998
5.http://www.iiu.edu.my/deed/hadith/bukhari/013_sbt.html

Saturday, August 21, 2010

YAKJUJ DAN MAKJUJ MENURUT AL-QURAN, HADIS DAN PANDANGAN ULAMA

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“(Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada Kami (untuk menerima balasan). Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya. Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak). (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): Aduhai celakanya kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri.

(Al-Quran: al-Anbiyaa’: ayat 93-97)

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar”.
(Al-Quran: surah Al-Kahfi ayat 99)

Di dalam Riwayat Sahih Muslim:

Rasulullah SAW terjaga dari tidurnya sambil bersabda : “ Lailaaha illallah. Celakalah bangsa Arab kerana kejahatan telah dekat. Hari ini sebagian dinding Ya’juj dan Ma’juj terbuka sekian ini.”
Dan sufyan(perawi hadis ini) melingkarkan jarinya membentuk angka sepuluh. Aku (Zainab bt Jahsy) berkata : “ Wahai Rasulullah, akan binasakah kami, sedangkan di tengah-tengah kami ada orang-orang yang soleh?”
Beliau bersabda: “Ya, jika banyak kemaksiatan”.
( HR Imam Muslim - Sahih Muslim)


Menurut Imam Ahmad daripada Abi Said al-khudri berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,”dibukakan tembok Ya’juj dan Ma’juj, kemudian mereka keluar sebagaimana Allah berfirman, “mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi” lalu orang-orang lari ketakutan dan menghindari mereka ke kota-kota dan benteng-benteng. Salah seorang dari mereka mulai berkata, “ mereka adalah penduduk bumi, kita telah menyelesaikan mereka, tinggal langit. Selanjutnya salah seorang dari mereka menggerakkan tombak pendeknya lalu melemparkannya ke langit, maka tombak tersebut kembali kepada mereka dengan celupan darah fitnah dan cubaan.
(Ibnu Kathir)


“…Sungguh telah ada pada tempat ini air, lalu mereka berjalan sehingga sampai pada bukit khamar dan dia adalah bukit Baitul maqdis. Lalu mereka berkata , “kami telah membunuh siapa sahaja yang ada dibumi , maka marilah kita membunuh siapa yang berada di langit, kemudian mereka melemparkan anak panah(senjata) mereka ke langit, lalu Allah membalikkan anak-anak panah tersebut kepada mereka yang telah tercelup dengan darah .” Dan pada riwayat Ibn hajar, “ maka sesungguhnya aku telah mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak ada kekuatan pada seseorangpun untuk memerangi mereka.”

Dan diriwayatkan oleh An- Nasai dan Ibnu Majah ;

” Rasulullah SAW bersabda ; manusia akan dibakar disisi Ya’juj dan Ma’juj, panah dan perisai(senjata) mereka sejauh tujuh tahun perjalanan(kecepatan).
( Ibnu Kathir)


Menurut pendapat ulama; Sayyid Quthub, beliau berpendapat, secara tarjih, bukan yakin, bahawa janji Allah SWT untuk melubangi dinding telah terjadi serta yakjuj dan makjud telah keluar. Mereka adalah bangsa Tartar yg muncul pada abad ke 7 hijrah. Mereka telah menghancurkan kerajaan-kerajaan Islam dan menebar kerosakan di muka bumi. (Asyrathu As Sa’ah : Yusuf al Wabil halaman 378)
Tentera Tartar yg muncul pada abad ke 7 hijrah, menurut Imam Nawawi, beliau menyatakan “ sesungguhnya telah terjadi peperangan dengan bangsa Turki itu(monggol) sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW ; iaitu mereka bermata sepek , wajah kemerahan, berhidung pesek , mukanya lebar seperti perisai dan mereka mengenakan sepatu dari bulu.

Mereka dengan segala pengenalannya itu telah dijumpai pada zaman kita sekarang ini dan mereka diperangi oleh kaum muslimin berkali-kali sehingga kini(Syarah Nawawi terhadap Soheh Muslim18: 37-38).
Menurut Imam Al-Qurtubi, beliau menyatakan berikut: " Dan telah keluar sebahagian daripada mereka bangsa Turk pada zaman ini, kaum-kaum yang tidak dapat dihitung kecuali Allah, dan tidak ada yang dapat mengusir mereka daripada kaum muslimin kecuali Allah, sehingga mereka seperti Ya'juj dan Ma'juj atau sebagai pembuka bagi kedatangan mereka. Munculnya bangsa Tartar terjadi pada masa Al-Qurtubi dan beliau mengira bahawa mereka adalah Ya'juj dan Ma'juj atau pembuka bagi keluarnya Ya'juj dan Ma'juj.
(Yusuf b Abdillah b Yusuf al-Wabil)

Kemudiannya bangsa Turki ini ramai yg memeluk Islam dan ditangan mereka ini diperolehi kebaikan yang banyak bagi Islam dan kaum muslimin.

Menurut saintis muslim Harun Yahya, Yakjuj dan Ma’juj berkemungkinan merujuk kepada peperangan Dunia pertama dan kedua. Ini berdasarkan Hadis manusia di bakar disisi Ya’juj dan Ma’juj serta panah dan perisai(senjata) mereka sejauh tujuh tahun perjalanan(kecepatan). Dan turunnya mereka dari tempat-tempat yang tinggi.


Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud :
"Akan didatangi Baitullah untuk mengerjakan haji dan umrah setelah keluarnya Yakjuj dan Makjuj". (HR Bukhari)

dan sabda Nabi SAW bermaksud, "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga tidak didatangi Baitullah untuk mengerjakan haji'.(HR Bukhari)

Apabila dihimpun kedua hadis tersebut menurut kata Imam Bukhari, bahawa setelah keluarnya Yakjuj dan Makjuj, tidak mesti meninggalkan mengerjakan haji di Baitullah pada sesuatu waktu ketika hampirnya hari kiamat ,

Daripada hadis-hadis Rasulullah SAW, jelas bahawa Yakjuj dan Makjuj ini akan muncul pada akhir zaman di Baitulmaqdis dan membuat kerosakan dimuka bumi.

Wallahu’alam

Rujukan:

1. Prof.Dr H. Mahmud Yunus: Tafsir Quran Karim; Klang Book Centre, 1992
2. Imam Muslim: Tarjamah Shahih Muslim Jilid IV; CV Asy Syifa Semarang, 1993
3. Ibnu Kathir : Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Kiamat; Darul Fajr,
cetakanke 2 ; 2004
4. Usamah Yusuf Rahmat : Kiamat Sudah Dekat; Berlian Publication Sdn Bhd, 2010
5. Ustaz Jaafar Salleh : 3 Tokoh Bakal Menakluk Dunia; Pustaka Azhar, 2009
6.Yusuf b Abdillah b Yusuf al-Wabil : Hari Kiamat Sudah Dekat; PT Pustaka Ibnu Katsir, cetakan ke 3 Julai 2009
7. http://www.gph.gov.sa/index.cfm?do=cms.quranexplorer
8. http://www.mahdi-antichrist-freemasonry.com/

Saturday, July 17, 2010

Kenali Injil Barnabas Yang Hampir Selari Dengan Islam


Injil Barnabas merupakan sebuah kitab Injil versi Barnabas. Injil Barnabas tidak dianggap sebagai kanon oleh penganut Kristian. Oleh itu membaca Injil Barnabas dilarang sama sekali.

Kitab Injil Barnabas terdapat beberapa versi . Injil Barnabas dikatakan ditulis oleh St Barnabas iaitu murid Jesus. St Barnabas ialah pakcik Markus. Beliau telah merantau dari Palestin ke Damsyik dan dari Philip ke Sinai untuk mengembangkan agama Kristian. Kuburnya ditemui di pulau Cyprus di Lautan Mediterranean pada zaman Maharaja Zeno ( 478 m). Satu salinan Injil yang ditulis dengan tangannya sendiri ditemui di dada jenazah St Barnabas .

Injil ini popular di kalangan orang Islam kerana hampir sejalan dengan ajaran Islam. Tetapi Injil Barnabas hampir tidak dikatahui oleh orang Kristian kerana ia amat bertentangan dengan Triniti. Ramai orang Islam hanya pandai menyebut Injil Barnabas tetapi tidak pernah membacanya.

Injil Barnabas dikatakan ada dua manuskrip iaitu dalam bahasa Sepanyol dan dalam bahasa Itali. Injil Barnabas dalam bahasa Itali disimpulkan sebagai ditulis pada akhir abad ke-16 sementara dalam bahasa Sepanyol ditulis abad ke-18. Namun pengkaji Kristian mendakwa Injil Barnabas versi Sepanyol lebih tulen.

Ketulenan Injil Barnabas

Manuskrip Itali dan Sepanyol dilihat mempunyai gaya bahasa dan penulisan Constantinople / Istanbul kerana ada catatan kaki berbahasa Arab . Constantinople ialah nama lama bagi bandar Istanbul di Turki. . Masyarakat Constantinople mungkin berbahasa Itali dan Sepanyol. Artifak -artifak Sacromonte di Granada 1590-an dihasilkan setelah orang Islam diusir dari Sepanyol. Granada Moor jatuh ke tangan Kristian pada 1492 M. Tetapi orang Islam Mudejar dan Sephandi Yahudi masih menetap di Venezia di Kesultanan Ottoman , Turki.

Pengkaji lain mendakwa Injil Barnabas tidak ditulis di Istanbul, tetapi di Rome , Itali kerana ungkapan syahadah dalam Injil Barnabas tidak sama dengan syahadah bahasa Arab .

Dikritik oleh Pendeta Kristian

Injil Barnabas telah dikritik oleh oleh 3 dekrit berikut :

Dekrit Gelasius menyebut Evangelium Barnabas sebagai Injil yang dilarang. Injil ini kemudian ditemui dalam Perpustakaan Paus Sijtus V ( 1585 - 1590 ) dan ditemui oleh seorang pastor bernama Pra Marino atau Vra Marino. Injil Barnabas telah dipakai di Gereja sehingga ke masa Dekrit Gelasius.

Injil Barnabas telah 'disembunyikan' bersama-sama Injil-Injil yang lain yang disebut sebagai Apocrypha. Kebanyakan daripada Injil-Injil ini berjaya dimusnahkan. Sebahagian lagi hanya diketahui namanya sahaja.

Satu naskah Injil Barnabas yang berhasil lolos oleh Pastor Vra Marino yang sekarang berada di National Bibliothek, Vienna, Austria. Dari naskah yang menarik ini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk oleh Dr Khalil Saadah.

Tiga dekrit di atas berlaku sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Nabi Muhamad dilahirkan pada 571 m.

Sarjana Kristian Mesir, Dr Khalil Saadah menyatakan Injil Barnabas yang tersimpan di Perpustakaan Vienna , Austria adalah penemuan tak ternilai dalam sejarah. Tebalnya 225 halaman.

Injil Barnabas dilihat sangat anti Triniti dan anti Paul. Sedangkan dalam Bible yang diterima pakai oleh Paus, Paul lebih penting daripada Jesus.

Kisah pastor Vra Marino dianggap sebagai cubaan mendiskredit tokoh-tokoh gereja Katolik Rome pada 1590-an. Vra Marino dianggap cuba memalukan Paus Siktus V yang menjadi ketua gereja pada tahun 1585-1590. Oleh itu Injil Barnabas dianggap sebagai hoax.

Kandungan Injil Barnabas

Paul telah menyeleweng

  • Bahawa Paul adalah orang yang sesat dan menyeleweng dari ajaran Jesus yang sebenarnya.(Lihat Barnabas Kata pendahuluan ayat 7 dan 222:3)

Saul yang bergelar Paul atau Pulus adalah seorang yang amat memusuhi agama yang diajarkan oleh Jesus dan pengikut-pengikutnya. Dia tidak pernah belajar kepada Jesus sendiri . Kemudian tiba-tiba ia mengaku bertaubat, seterusnya mengaku pula menjadi rasul Jsus. Dan akhirya oleh penganut Kristian mengakuinya juga sebagai seorang rasul Jesus yang dipenuhi Roh Kudus. Empat belas surat keterangannya dimasukkan dalam golongan kitab-kitab Perjanjian Baru dan dianggap sebagai kanon dan kitab suci. Barnabas menyatakan Paulus sebagai telah menyeludup ke dalam agama Kristian dan mengaku menjadi pengikut Jesus untuk menyelewengkan agama itu dari dalam. Barnabas menyatakan sebab dia menulis Injil Barnabas kerana faktor Paulus yang menyeleweng ini. ( Barnabas Kata Pendahuluan 1-9) ms 51

Jesus tidak mati disalib tetapi Judas Iskariot mati disalib

  • Bahawa Jesus tidak disalibkan yang disalibkan ialah Judas Iskariot.( Lihat Barnabas 112:13-16 ;215:1-6; 217:77-81)

Pasal 215,216,217 dalam Injil Barnabas menyatakan Jesus tidak mati disalib. Sebaliknya Judas Iskariot yang mati disalib.

Judas Iskariot mengetahui Jesus bersebunyi dari sebuah rumah ke sebuah kebun dan berdoa. Lantas Judas Iskariot menawarkan maklumat itu kepada Imam Besar Yahudi dengan wang 30 keping emas. Sepasukan askar dengan dipandu oleh Yudas Iskariot pergi ke kebun itu. Allah telah memerintahkan malaikat Jibril, Mikhail, Rufail dan Uril membawa Jesus ke langit. 11 orang murid Jesus sedang tidur.

Dengan takdir Allah, Judas Iskariot berubah rupa dan wajahnya menyerupai Jesus. Judas Iskariot menafikan dirinya Jesus walaupun disoal berulang-kali. Judas ditangkap oleh askar dan dibawa ke Jerusalem. 11 murid Jesus berjaya menyelamatkan diri. Judas diseksa, ditutup matanya dan hampir menjadi gila. Tetapi semua yang melihat hanya ketawa kerana menyangka Judas Iskariot buat-buat gila. Jika orang Kristian melihat pasti mereka kasihan.

Kemudian Judas diserahkan kepada Pilatus (wakil pemerintah di situ). Judas dipakaikan dengan pakaian ganjil berwarna unggu dan mahkota menyerupai raja Yahudi. Yudas dibawa ke Bukit Tengkorak dalam keadaan disalib dan bertelanjang. Yudas berteriak "Ya Allah, mengapa engkau tinggalkan aku. Orang yang bersalah terlepas sedangkan aku mati teraniaya".

Ibu Jesus dan lain-lain telah mengkebumikannya. Barnabas , Yahya, Yakub serta Maryam ibu Jesus telah pergi ke Nazareth. Beberapa orang telah menggali kubur Judas, menyembunyikan jenazah Judas dan menyebarkan berita Jesus telah bangkit sesudah mati disalib.

Kemudian Allah telah memerintahkan malaikat membawa Jesus turun ke bumi untuk menemui Maryam yang kesedihan. Jesus memerintahkan Barnabas menulis kitab Injil.

Pada hari ke-3, Jesus memerintahkan Yakub dan Yahya mengumpulkan tujuh orang muridnya termasuk Nikodimus dan Yusuf. 72 orang lain lain turut hadir untuk makan malam di Bukit Zaitun. Bukit Zaitun adalah tempat Jesus naik semula ke langit.

Jesus menghalau Paul yang mendakwa dirinya Allah atau Anak Allah

  • Bahawa Jesus dengan tegas mengengkari ketuhanannya dan mengengkari dirinya sebagai Anak Allah. ( Lihat Barnabas 52:10-14; 94:1-2 ; 112- 5 ; - 10 ; 206: 2-6)

Barnabas menulis Jesus murka kepada Paul dan menuduh Paul sebagai iblis yang berusaha membuatkan Jesus berdosa. Ini kerana Paul memanggil Jesus sebagai Allah atau Anak Allah.( Barnabas 53:6 ; 69:6 ; 70:1, 94:1)

Selaras dengan Islam

Tokoh Islam dari Mesir , Rashid Rida dan Sayyid Abul Ala Maududi dari Pakistan menggunakan Injil Barnabas untuk menerangkan tentang Jesus. Namun Injil Barnabas bukanlah Injil tulen 100 % tetapi mungkin telah ditokok dan dibuang bahagian-bahagiannya. Injil Barnabas dilihat lebih otentik berbanding Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Yohanes.

Sarjana Islam berpendapat tidak mungkin Injil Barnabas dihasilkan oleh orang Islam sendiri.

  • Injil Barnabas membenarkan minum anggur ( arak ?) tetapi Islam melarang keras.
  • Barnabas menggalakkan perkahwinan monogami .Sedangkan Islam membenarkan poligami jika mampu.
  • Ucapan syahadah tidak sama dengan ucapan syahadah orang Islam berbahasa Arab masa kini.

Rujukan

  • HM Arshad Talib Lubis, Perbandingan Agama : Kristen dan Islam , Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur , 1982, hlm 369


Sumber: Antara Petikan Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Petikan Artikel Penuh:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Injil_Barnabas